Monday, March 29, 2010

LIGA LEGO UJI KREATIVITI PELAJAR



KUALA LUMPUR 28 Mac – Kejohanan Liga Lego FIRST (FLL) Terbuka Malaysia 2010 menjadi platform untuk pelajar mempersembahkan idea kreatif masing-masing dalam mereka cipta sebuah robot. Peserta dinilai melalui empat perkara utama iaitu persembahan projek, persembahan robot, reka bentuk teknikal dan program robot serta semangat kerjasama berpasukan. Misi pertandingan ini adalah memastikan pelajar mengetahui bagaimana cara terbaik merangka laluan yang cekap, tanjakan pendakian curam, tindak balas kepada perubahan keadaan dan ujian ketahanan rempuhan bagi membantu mereka memahami fungsi sistem pengangkutan yang cekap. Menurut Dean Kamen, pengasas For Inspiration and Recognition of Science and Technology (FIRST), pertandingan bertemakan Smart Move itu menguji kebolehan pelajar menghasilkan robot yang dapat meningkatkan keberkesanan sistem pengangkutan di negara ini. FIRST merupakan sebuah organisasi berkaitan bidang sains dan teknologi telah menganjurkan Kejohanan Liga Lego FIRST (FLL) di peringkat dunia. Menurut beliau lagi, pertandingan itu dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran mereka dalam kebolehan menyelesaikan masalah, daya pemikiran kreatif, persaingan sihat, serta semangat kerjasama, kesukanan dan bermasyarakat. Pasukan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur, muncul juara keseluruhan.Tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, Sarawak manakala tempat ketiga diraih Sekolah Menegah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. SJKC Jalan Davidson yang menggunakan nama Davidson Knights turut menjadi pemenang tempat pertama dalam kategori Persembahan Robot Terbaik. Pertandingan itu mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelajaran, Pusat Sains Negara, Microsoft, Institut Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Malaysia, Lego Education dan Kumpulan Utusan. Ia turut mendapat kerjasama pakar dari Pusat Penyelidikan Universiti Michigan, Amerika Syarikat serta beberapa jurutera pembangunan perisian dari syarikat Garmin dan General Motors Corporation.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments:

Post a Comment