Thursday, March 18, 2010

GAGASAN 1MALAYSIA KINI JADI GERAKAN MASSA, KATA NAJIB

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin berkata konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau kini sudah menjadi gerakan massa di peringkat akar umbi dan bukan lagi gagasan kerajaan semata-mata. Seperti yang disaksikan dalam lawatan tinjauan mesra ke beberapa kawasan seperti Pantai Dalam, Petaling Street dan Brickfields tidak berapa lama dulu, beliau bersyukur dan berbangga dengan sambutan yang diberikan rakyat terhadap gagasan tersebut. Beliau juga berasa kagum bahawa sebutan Salam 1Malaysia telah menjadi kelaziman ramai pihak tambahan pula banyak inisiatif daripada rakyat sendiri untuk meraikan dan mengenal pasti dengan lambang 1Malaysia secara simbolik seperti perkahwinan 1Malaysia di antara empat pasangan di Kapar baru-baru ini yang terdiri daripada dua pasangan Melayu, satu Cina dan satu India yang disaksikan beliau sendiri. Menurut Perdana Menteri lagi, komitmen semua pihak diperlukan untuk menjayakan lagi gagasan 1Malaysia. Beliau berkata, penghalang terbesar bagi kejayaan pencapaian 1Malaysia atau perpaduan negara yang lebih sempurna adalah kebimbangan serta ketakutan akibat prasangka dan prejudis yang tidak ditangani. Najib berkata gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan” adalah satu falsafah induk yang merentas dasar dan pelaksanaan kerana matlamat akhirnya adalah perpaduan nasional.

Sumber: New Sabah Times

No comments:

Post a Comment