Tuesday, March 8, 2011

Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PUSPANITA Ke-28 Cawangan Sabah

04/03/2011

Kepimpinan yang bijak dan dinamik merupakan prasyarat utama dalam memastikan sesuatu persatuan terus relevan. Justeru itu, integriti, kreativiti, inovasi dan kebijaksanaan harus digunakan sebagai pemangkin perubahan.

Ini dinyatakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Sukarti Wakiman ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PUSPANITA Ke-28 Cawangan Sabah di One Borneo Grand Ballroom Kota Kinabalu.

Beliau berkata, PUSPANITA boleh meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan ahli mereka dengan menjalinkan kerjasama dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti latihan dan kursus dalam bidang-bidang yang menjurus kepada pencapaian kemajuan kaum wanita seperti program yang boleh meningkatkan ekonomi dan pendapatan.

Datuk Haji Sukarti turut menyeru semua ahli PUSPANITA agar menggunakan kemudahan-kemudahan internet secara bijak memandangkan kini kemudahan IT seringkali disalahgunakan oleh pelbagai pihak.Beliau juga menyeru agar ahli-ahli PUSPANITA sentiasa memantau anak-anak mereka supaya tidak terpengaruh dengan budaya negatif melalui internet.

Datuk Haji Sukarti juga menasihati semua ahli agar memilih calon yang berwibawa, berwawasan, aktif dan sedia berkhidmat manakala mereka yang terpilih pula, beliau mengharapkan agar mereka melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi serta sentiasa berpegang pada prinsip walau pemimpin silih berganti, visi PUSPANITA mesti sentiasa disokong.

Menyentuh isu pelajar-pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran di Mesir pula, Datuk Haji Sukarti ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata, Kerajaan Negeri bercadang menghantar kembali seramai 311 orang pelajar Sabah ke pusat pengajian masing-masing pada 12 dan 13 Mac ini. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan semasa.

Ends/ Nadiah/Cov

YAHYA TERIMA KUNJUNGAN PENGARAH FAMA

01/03/2011


Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri,Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin telah menerima kunjungan perpisahan daripada Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, Haji Ibrahim Mahmood di pejabatnya di Wisma Pertanian Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Haji Ibrahim yang telah berkhidmat selama 4 tahun di Sabah akan bertukar ke negeri Pahang sebagai Pengarah FAMA Negeri Pahang bermula pertengahan bulan Mac 2011.

Tempat beliau akan diganti oleh Ribin Wahid, 47, anak jati Sabah yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah FAMA Negeri Melaka.

Sementara Timbalan Pengarah FAMA Sabah, Samudin Hassan yang telah berkhidmat selama 8 tahun di Sabah akan bertukar ke negeri Melaka berkuatkuasa bulan Mac 2011, tempat Samudin akan diisi oleh Mohd. Shukri Majalin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri mewakili Kerajaan Negeri dan warga kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa dan khidmat cemerlang Haji Ibrahim dan Samudin.

Datuk Yahya turut mengalu-alukan perlantikan Ribin sebagai pengarah baru FAMA Sabah. Ribin telah lama berkhidmat di pejabat FAMA Negeri Sabah iaitu selama 23 tahun dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah FAMA Negeri Melaka pada 1 Febuari 2007.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau lebih dikenali sebagai FAMA (Federal Agricultural Marketing Authority) ialah sebuah agensi pemasaran yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. FAMA telah ditubuhkan pada 30 September 1965 bagi tujuan menyelia, menyelaras, mengawalselia dan memejukan pemasaran keluaran pertanian Malaysia, termasuk pengimportan dan pengeksportan.


Ends/Nadiah/St