Tuesday, March 16, 2010

671 KANAK-KANAK TERBIAR SERTAI PUSAT AKTIVITI DI CHOW KIT

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Seramai 671 kanak-kanak terbiar di Chow Kit, berusia lingkungan 1 hingga 17 tahun telah mendaftar dan menyertai Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) sejak tahun 2007, kata Pengarah Urusan, Dr. Hartini Zainuddin.

Menurutnya lagi, untuk menampung bilangan kanak-kanak yang semakin meningkat, sebuah pusat aktiviti dikenali sebagai Kuala Lumpur Krash Pad (KLKP) telah dibuka sejak tahun 2009.

“Semasa bermula dengan PAKK, kami hanya menyediakan makanan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sahaja.”

“Namun keperluan mereka semakin meningkat dan sekarang kami menyediakan sehingga 21 jenis perkhidmatan di sana,” kata beliau kepada sidang media selepas pelancaran KLKP oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di sini, Isnin lalu.

Hartini berkata KLKP akan menumpukan perhatian kepada remaja berumur antara 13 hingga 21 tahun, manakala PAKK pula adalah khusus untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

“Kami juga menyedari bahawa ramai kanak-kanak di sini terlibat dengan masalah sosial dan dadah, menyukarkan kami untuk menarik mereka ke mari. Buat masa sekarang, hanya 166 remaja yang berdaftar dengan KLKP,” tambahnya.

Sebelum itu, Datuk Seri Shahrizat dalam ucapannya berkata, KLKP akan dilengkapi dengan khidmat tusyen, latihan kemahiran, kaunseling, serta kelas komputer, kesenian dan muzik.

“Kebanyakan remaja di Chow Kit ini ada bakat terpendam dan berpotensi untuk berjaya, namun tidak tahu ke mana harus dibawa bakat mereka itu.”

“Jadi, kerajaan, dengan kerjasama badan bukan kerajaan menawarkan untuk membantu remaja-remaja ini dengan cara membuka pusat latihan sebagai tempat yang selamat untuk mereka menambah pengetahuan dan mendapat latihan,” katanya lagi.

Projek ini juga adalah inisiatif bersama Yayasan Salam Malaysia, bersama sektor swasta dan kementerian bagi membantu golongan remaja di Kuala Lumpur.

“Ini hanyalah projek permulaan, dan kementerian sedang merancang untuk mengembangkan idea ini dari sudut-sudut lain,” tambah beliau lagi. --BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/newsgeneral.php?id=482726

1 comment:

  1. Kanak-kanak sering mendapat perhatian masyarakat. Berita mengenai mereka sering menarik minat. Apatah lagi kanak-kanak terbiar.

    Pemilihan berita yang baik.

    Susunan kata pada tajuk tidak jelas pada saya.

    ReplyDelete