Monday, May 10, 2010

SWING: MAISARAH ATAN

Original from Berita Harian:

SEREMBAN: Seorang konstabel digantung tugas serta-merta selepas dipercayai menembak seorang remaja di perut hingga menembusi ususnya ketika mengejarnya menggunakan kereta peronda di Jalan Seremban-Jelebu dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Mohd Azizi Aziz, 17, dipercayai ditembak konstabel terbabit apabila enggan memberhentikan motosikal yang ditunggangnya ketika dikejar kereta peronda berkenaan.

Kejadian bermula dari depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Dato Siamang Gagap di sini, apabila kereta peronda yang dinaiki dua anggota polis mengejar sekumpulan kira-kira 20 penunggang motosikal, termasuk mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata kumpulan penunggang terbabit kemudian berpecah, manakala motosikal Mohd Azizi dikejar hingga ke Jalan Seremban-Jelebu.

Katanya, anggota polis berkenaan terlebih dulu melepaskan tembakan amaran, tetapi dalam keadaan motosikal terbabit ditunggang ke kiri dan kanan, tembakan dari tingkap kereta peronda yang bergerak laju boleh menyebabkan peluru dilepaskan ke atas dan ke bawah.

“Mangsa ditahan di persimpangan Kampung Ujung Pasir selepas dikejar antara satu hingga dua kilometer dalam keadaan dia masih boleh melarikan diri.

“Ketika itu, baru mangsa menyedari perutnya terkena tembakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan, Gemencheh, Tampin, semalam. Perasmian dilakukan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Osman berkata, tindakan digantung tugas dibuat kerana dipercayai melepaskan tembakan tanpa justifikasi yang boleh membawa ancaman kepada anggota polis itu.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai salah guna kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit menembak tanpa justifikasi yang ditetapkan oleh Perintah Tetap Ketua Polis Negara,” katanya yang turut meminta maaf kepada keluarga mangsa.

Abu Seman dan Osman kemudian melawat mangsa yang baru selesai menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini.

Mengulas kejadian ini, Abu Seman berkata, tindakan menahan kerja anggota polis berkenaan menunjukkan polis memberi perhatian serius terhadap kejadian itu.

Sementara itu bapa mangsa, Aziz Omar, 42, yang tinggal di Taman Tasik Jaya, Senawang, berkata, anaknya mendakwa turut ditumbuk dan beliau tidak menolak kemungkinan melantik peguam dan membuat laporan polis kedua berhubung perkara berkenaan.


SWING:

SEREMBAN: Belum reda kejutan peristiwa remaja 15 tahun, Aminul Rasyid ditembak mati. Di Seremban, kejadian hampir sama berlaku. Kali ini seorang remaja, Mohd Azizi Aziz, 17 yang disyaki “Mat Rempit” ditembak sehingga menembusi ususnya awal pagi semalam.

Pegawai berpangkat konstabel itu digantung tugas serta-merta.

Dalam kejadian tersebut, kira-kira pada pukul 3.30 pagi, Azizi bersama 20 lagi penunggang dipercayai dikejar oleh pegawai berkenaan bersama seorang lagi anggota menggunakan kereta peronda bermula dari depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Dato Siamang Gagap. Selepas enggan memberhentikan motosikal walaupun diberi amaran, pegawai tersebut bertindak melepaskan tembakan.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, Pegawai tersebut mendakwa melepaskan tembakan amaran terlebih dahulu. Namun, keadaan kereta peronda yang sedang laju menyebabkan tembakan tersasar dan terkena mangsa. Dakwanya lagi, ketika mangsa ditahan, di persimpangan Kampung Ujung Pasir, selepas kira-kira 2 kilometer, mangsa masih cuba melepaskan diri dan baru menyedari perutnya ditembusi peluru.

Osman juga berkata, tindakan digantung tugas itu amat sesuai kerana setelah analisa awal, pegawai tersebut dipercayai melepaskan tembakan tanpa justifikasi. Beliau menganggap kejadian ini sebagai salah guna kuasa dan amat dikesali.

Osman kemudiannya melawat mangsa yang baru menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.


No comments:

Post a Comment