Wednesday, April 21, 2010










NAJIB menerima anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Naya di Liberty Tower Hall, Universiti Meiji, di Tokyo, semalam.
Rakyat perlu hapuskan sikap ‘lebih kurang’


DATUK Seri Najib Razak mahu masyarakat Malaysia menghapuskan sikap ‘lebih kurang’, sebaliknya mencontohi budaya ketelitian yang menjadi amalan masyarakat Jepun sehingga mereka berjaya seperti sekarang.
Perdana Menteri berkata, jika mahu maju serta berjaya dalam bidang sains dan teknologi, rakyat harus menjadi masyarakat mengutamakan ketelitian dan kesungguhan untuk bersaing sebagai masyarakat yang inovatif. “Dalam lawatan saya kali ini, saya melalui program yang begitu teliti yang menggambarkan kekuatan nilai masyarakat Jepun.

“Malah, ketika saya ditanya sebelum majlis ini, apakah kualiti paling penting dalam masyarakat Jepun, saya berfikir sejenak, sebelum menjawab ketelitian sebagai kualiti utama mereka,” katanya ketika berucap selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran dari Universiti Meiji di sini, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden universiti itu, Hiromi Naya, pada majlis di Liberty Tower Hall, Universiti Meiji. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengenai hubungan Malaysia-Jepun, Najib yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Jepun sejak Ahad lalu berkata, kedua-dua negara ibarat dua rakan lama dan perhubungan yang dijalin berasaskan kepentingan bersama.
“Seperti Malaysia banyak belajar daripada kekuatan Jepun dalam kemajuan sains dan teknologi, Jepun juga boleh memperoleh manfaat daripada kekayaan kepelbagaian Malaysia, daripada oseanografi ke perhutanan, daripada kelapa sawit ke perubatan tropikal dan daripada kewangan Islam ke perhubungan pelbagai budaya,” katanya.

Sebagai tambahan, katanya, kedua-dua negara boleh memperluaskan rangka kerja sedia ada, misalnya program Pertubuhan Promosi Sains Jepun (JSPS) dengan Majlis Naib Canselor Malaysia dalam bidang penting seperti kemampanan dan inovasi teknologi.

Najib berkata, inisiatif lain yang boleh dilaksanakan ialah menyemak semula idea penubuhan Universiti Jepun Malaysia sebagai simbol komitmen yang diperbaharui dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Jepun boleh memainkan peranan dalam membantu transformasi Malaysia daripada ekonomi berasaskan perindustrian kepada ekonomi berasaskan inovasi seperti mana Jepun sudah membantu Malaysia melakukan transformasi pertama dari negara berasaskan pertanian kepada negara berasaskan perindustrian.

“Sudah sampai masanya kita menyemak semula Dasar Pandang ke Timur dan melihat cara baru yang lebih inovatif di mana Malaysia dan Jepun boleh berkongsi kepakaran dengan teknologi hijau yang menjadi kelebihan Jepun, amat sesuai diserapkan dalam rangka kerjasama ini,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN
OLEH: WAN SUZIATI(2008412584)

No comments:

Post a Comment